Bismillahirahmanirahim...

blog ini membincangkan ilmu berkaitan geografi agar dapat dikembangkan dan tidak lapuk di zaman.

Sunday, 2 October 2011

Fenomena – fenomena El-Nino Di Malaysia

El-Nino 2009
            Fenomena El Nino 2009 berlaku akibat cuaca panas dan kering yang berterusan dari bulan April hingga September 2009. Laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia memberitahu bahawa cuaca panas dengan suhu tertinggi iaitu 36°C sepanjang bulan tersebut adalah disebabkan oleh musim Monsun Peralihan. Semasa El Nino, biasanya cuaca adalah panas pada sebelah pagi tetapi hujan dan ribut petir ketika lewat petang dan malam. Bacaan yang direkodkan dari 1 April sehingga 29 April 2009 di 40 stesen meteorologi, terdapat hari-hari yang menunjukkan beberapa stesen mencatatkan suhu maksimum. Suhu tertinggi yang direkodkan ialah 36.1°C di Stesen Meteorologi Petaling Jaya pada 17 dan 18 April 2009. Cuaca panas ini berlaku disebabkan perubahan tiupan arah angin dari timur ke barat. Kedudukan matahari yang tepat dalam kawasan tropika menyebabkan suhu menjadi panas pada hari-hari tiada hujan.  Fenomena El Nino ini telah menyebabkan krisis air di Lembah Klang. Selain itu, pada 3 Ogos 2009, lapan bahagian di Negeri Sarawak telah terjejas teruk terutamanya di pesisir Bahagian Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang. Timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Tan Sri Dr George Chan Hong Nam menyatakan  bahawa fenomena El Nino ini bermula dari bulan Julai hingga September atau Oktober 2009. Cuaca pada masa itu adalah kering kerana jumlah taburan hujan adalah kurang daripada 50 %. Kerja pembenihan hujan sedang giat dilakukan khasnya di kawasan-kawasan tadahan hujan untuk memastikan bekalan air mencukupi. Daerah kecil Belawai yang mempunyai 1,000 keluarga terjejas teruk.




El Nino 2010
            Fenomena El Nino 2010 berlaku pada bulan Januari hingga April 2010 di Malaysia dan beberapa tempat di seluruh dunia. Fenomena ini disebabkan oleh cuaca yang panas dan kering pada paras 38°C. Suhu paling panas yang direkodkan bagi episod El Nino kali ini ialah 38.1°C di Chuping, Perlis pada 9 Mac 2010. Jabatan Metreologi menyatakan bahawa hujan tidak akan turun sehingga bulan April atau Mei. Punca El Nino kali ini menurut Jabatan Meteorologi juga adalah disebabkan oleh kedudukan matahari yang terletak di atas Garisan Khatulistiwa dan awan yang rendah. Kesannya, pada 18 Mac 2010, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) melaporkan penyusutan paras air di Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tengi, Empangan Semenyih, Empangan Sungai Langat, Klang Gates, Empangan Tasik Subang dan Empangan Sungai Batu. Selain itu, Terusan pengairan di Kampung Tok Kuning di Perlis juga menjadi kering-kontang.

El Nino 1997/1998
Fenomena El-Nino pada  1997/1998 telah menyebabkan dunia secara keseluruhannya berada dalam kecelaruan dan sering diancam bencana alam yang tidak putus-putus.  Malah, keadaan panas terik dengan jumlah hujan yang minimum yang dialami oleh negara kita pada waktu itu telah mengheret kita kepada krisis air terburuk dan menyebabkan kita kerugian berjuta-juta ringgit ekoran tanaman yang tidak menjadi sehingga telah menimbulkan kekalutan dalam pasaran komoditi dunia. Ia merupakan pengalaman ngeri yang pernah kita alami kesan daripada fenomena El-Nino dan pastinya kita tidak ingin mengalaminya sekali lagi. Pada 1998, suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998. Tahun 1998 merupakan tahun yang merekodkan suhu tertinggi terbanyak dengan 50 peratus daripada rekod suhu tertinggi dicatatkan.
Selain itu, cuaca panas kering yang melampau ini juga telah mengundang risiko kebakaran yang dasyat iaitu menyaksikan hutan di Indonesia musnah teruk ekoran kebakaran yang berlaku. Kebakaran tersebut turut memberi kesan yang besar kepada negara-negara serantau dan Malaysia juga tidak terkecuali. Lebih buruk lagi, ia telah membawa kepada berlakunya pelbagai penyakit yang berkaitan dengan pernafasan. Keadaan menjadi bertambah meruncing apabila kebakaran yang berlaku itu telah mengakibatkan pencemaran udara yang teruk kepada negara-negara serantau. Bahkan, keadaan pencemaran menjadi lebih serius ditambah pula dengan musim panas yang berpanjangan pada ketika itu sehingga menyumbang kepada masalah jerebu yang teruk yang mengakibatkan mutu kesihatan awam terjejas, di samping turut mengurangkan jarak penglihatan. Masalah jerebu yang melanda negara pada ketika itu telah menyebabkan hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi asap. Malah, keadaan berjerebu tersebut sangat membimbangkan sehingga menyebabkan indeks pencemaran udara (IPU) pada ketika itu meningkat secara mendadak sehingga ke paras yang sangat bahaya.

No comments:

Post a Comment